Sekolah Menengah Kebangsaan Lembah Keramat telah dibuka pada 3 Januari 1986. Sekolah yang berkeluasan 50,000 meter persegi ini terletak dalam mukim Hulu Kelang dan perbelanjaan pembinaannya dibiayai oleh Bank Dunia. Terdapat hanya 20 orang tenaga pendidik diterajui oleh En. Ismail b. Sulaiman selaku Pengetua Perintis dan 327 orang murid Tingkatan Satu dan Tingkatan Dua pada mula-mula pembukaan sekolah ini. Jumlah murid terus meningkat dari tahun ke tahun dan pada 1988 jumlah murid meningkat ke angka 1,666 orang. Persekolahan dua sesi diwujudkan iaitu murid Tingkatan Satu dan Dua pada sesi petang manakala murid Tingkatan Tiga, Empat dan Lima pada sesi pagi. Kumpulan pertama yang menduduki Sijil Pelajaran Malaysia ialah pada tahun 1989 dan telah mencatatkan keputusan cemerlang yang membanggakan. Pada tahun 1986 juga, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) telah ditubuhkan dan En. Mohd Rus bin Pilus sebagai Yang Dipertua Pertama. Kelas Rancangan Khas (KRK) di SMK Lembah Keramat bermula pada tahun 2005 dengan bilangan murid seramai 25 orang. Pada tahun 2012, bilangan murid KRK meningkat kepada 142 murid. Kini terdapat 2 buah kelas KRK bagi setiap tingkatan.